Muzdalifah

10 Makanan Mesti Dicuba Apabila Anda Travel Ke Arab Saudi

Makanan Arab tampil dengan keunikan serta keenakan yang tersendiri. Ia bukan sahaja memiliki hidangan pembuka selera yang enak, malah hidangan utama, pencuci mulut serta hidangan penutup yang tidak kurang juga lazatnya.

Hidangan makanan Arab bukan sahaja digilai penduduk tempatan, namun ia turut mendapat perhatian dari pelancong luar. Ini antara makanan arab yang halal yang boleh anda nikmati semasa berada di Arab Saudi.

#1. Nasi Arab Khabsa & Mandy 

Nasi Arab adalah makanan authentic orang Arab. Biasanya nasi ini dihidangkan bersama ayam, namun ada juga  yang dihidangkan bersama kambing atau ikan.

Terdapat dua jenis nasi iaitu khabsa dan mandy. Bagi nasi mandy, nasinya berwarna kuning, manakala khabsa pula berwarna perang kemerahan.

Nasi Arab biasanya dihidangkan bersama potongan cili hijau, bawang besar serta sambal tomato. Bagi pilihan ayam pula, terdapat ayam panggang serta ayam BBQ.

Biasanya saiz hidangan yang dihidangkan adalah agak besar dan sebaiknya anda berkongsi semasa memesan makanan arab.

#2. Falafel

Falafel boleh ditemui di pinggir jalan terutamanya di Yordania. Ia boleh dimakan bersama salad, acar, sos ataupun roti pita. Rasanya yang enak membuatkan ianya disukai ramai.

#3. Shawarma

Ia merupakan hidangan jalanan yang sangat popular terutamanya di Mesir serta semenanjung Arab. Daging yang digunakan akan dimasak bersama rempah ratus termasuklah jintan, buah pelaga, kunyit serta paprika.

Shawarma juga akan dihidangkan bersama potongan tomato, bawang, sayuran jeruk, sos tahini dan sos amba. Ada juga yang menghidangkannya bersama cili bakar, terung atau kentang goreng.

#4. Kunafa

Kunafa merupakan sejenis pencuci mulut yang seperti mirip sepotong kek yang berintikan keju cair di sebelah dalam. Topping kunafa ini pula diletakkan seakan – akan bihun.

Ia kemudiannya dibakar menggunakan oven bagi mendapatkan tekstur luar yang rangup serta cheesy di dalam. Untuk menikmati kunafa ini, air gula pekat yang disediakan perlu dicurah pada bahagian atas kunafa ini.

#5. Saleeg

Saleeg merupakan hidangan nasi putih yang dimasak bersama sup ayam atau daging dan juga susu. Ia seakan – akan hidangan Itali iaitu risotto atau juga kelihatan seperti bubur nasi.

Hidangan ini begitu popular di sekitar bandar Taif, malah kini begitu terkenal di seluruh Arab. Saleeg diperbuat daripada bahan – bahan yang sangat mudah, namun mengambil masa kira – kira sejam untuk memasaknya.

Perkataan “saleeg” sebenarnya berasal daripada perkataan Arab yang bermaksud “mendidih” di mana hampir kesemua bahannya direbus. Biarpun ianya direbus hidangan ini tetap mempunyai rasa rempah kerana menggunakan daging, susu, stok dan mentega dalam hidangan.

Saleeg biasanya dimakan bersama ayam panggang. Ia sangat lembut serta mudah dihadam oleh kanak – kanak, dan hidangan ini sangat digemari menjelang musim sejuk.

#6. Broasted chicken

Sekiranya anda inginkan ayam KFC ketika berada di negara arab, adalah disarankan anda mendapatkan hidangan broasted chicken. Rasa hidangan ayam ini tidak ubah seperti KFC di Malaysia.

Broasted chicken ini biasanya dihidangkan bersama kubus iaitu sejenis roti seakan capati, nipis serta ringan. Ia boleh dimakan bersama sos bawang putih serta hot sauce. Hidangan ini biasanya dihidangkan bersama kentang goreng juga.

#7. Tamis

Tamis ini merupakan sejenis roti yang seakan roti naan di Malaysia. Namun, saiz roti ini agak berbeza kerana saiznya agak besar, sebesar dulang.

Biasanya ia dimakan menjelang sarapan pagi dan ramai orang di Arab akan mendapatkan tamis ini sebagai hidangan sarapan.

Tamis ini biasanya dimakan bersama ‘mushakkal’ iaitu kuah kari kacang kuda yang dikisar serta dicampurkan dengan lada hitam serta taburan keju di bahagian atas kuah. Biasanya harga kuah tamis ini sedikit mahal berbanding roti tamis kerana ia dijual secara berasingan.

Tamis juga boleh dinikmati bersama ‘khibdah’ iaitu hati lembu yang dicincang dan dimasak bersama tomato serta bawang putih yang dipotong dadu. Ia turut ditambah dengan sedikit lada hitam untuk memberi rasa pedas.

#8. Laban

Laban ini merupakan sejenis susu yang seakan yogurt tetapi rasanya lebih pekat sedikit. Ia sesuai diminum sebelum tidur bagi mendapatkan tidur yang lebih nyenyak.

Minuman ini biasanya boleh didapati di supermarket berdekatan dan dijual dalam botol 1 liter hingga 3 liter. Bagi botol yang bersaiz kecil, terdapat perasa mangga, caramel serta strawberi. Namun, jika membeli laban bersaiz besar hanya terdapat perisa asli sahaja.

#9. Simit

Simit merupakan sejenis roti yang berbentuk bulat. Ia juga kelihatan seakan kuih donut, namun memiliki keunikan yang tersendiri.

Simit disaluti dengan biji bijan, biji bunga poppi, biji flex serta biji bunga matahari. Makanan ini berasal dari Timur Tengah dan telah wujud sejak era Uthmaniyyah lagi. Rasanya yang agak rangup di luar dan lembut di dalam pastinya memberi kepuasan ketika menikmatinya.

#10.  Chai halib

Kalau di Malaysia, teh tarik sangat terkenal di kalangan masyarakat tempatan, di Arab pula teh susu atau chai halib paling popular. Teh susu yang dihasilkan ternyata berbeza dengan cara orang Malaysia.

Chai halib yang dihasilkan menggunakan susu penuh krim dan sedikit susu tepung. Ia kemudiannya dimasak sampai mendidih. Setelah itu, uncang teh diletakkan dalam gelas yang kemudiannya campuran susu tadi dituang pula pada gelas yang berisi uncang teh. Rasa teh susu di Arab memang berbeza.

Kesimpulan

Makanan Arab sememangnya memiliki identiti yang tersendiri. Ia bukan sahaja kaya dengan rempah ratus serta aroma yang menawan, malah merupakan hidangan yang sihat dan segar. Oleh sebab itu, makanan Arab memiliki peminat yang tersendiri.

Pelbagai hidangan yang boleh dicuba jika berada di negara Arab. Ia bukan sahaja enak, malah cukup mengenyangkan dengan saiz hidangan yang agak besar. Harga makanan Arab juga cukup berbaloi dan anda boleh berkongsi hidangan bersama yang lain.

 

Sumber: Saji.my

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top